Solat/Sembahyang Cara Nabi s.a.w.

Solat Cara Nabi s.a.w.

  • Arkib

  • Langgan email

  • Melaksanakan Solat Aidil Fitri Di Musholla (Kawasan Lapang)

    Posted by admin di 27 September 2008

    Melaksanakan Solat Aidil Fitri Di Musholla (Kawasan Lapang)

    Mengerjakan solat Aidil Fitri di musholla merupakan satu amalan yang hampir tidak dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil manusia yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Apakah itu musholla dan apakah perbezaanya dengan masjid? Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah berkata:
    Adapun perbezaan di antara musholla dan masjid adalah bahawa musholla berada di tempat terbuka (seperti padang-pent.) sehingga khatib dapat melihat semua hadirin. Sedangkan masjid berada di dalam sebuah tempat (bangunan-pen) yang tertutup, sehingga terkadang seorang khatib hanya dapat melihat sebahagian sahaja para hadirin. Solat Aidil Fitri disunnahkan untuk dilakukan di musholla, dan tidak dilakukan di masjid kecuali apabila di dalam keadaan darurat (seperti hujan, angin kencang dan lainnya-pen).
    (al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms.282)

    Dalil yang menunjukkan disunnahkan untuk mengerjakan solat Aidil Fitri di musholla adalah sebuah hadis dari Abu Sa’id al-Khudri (radhiallahu ‘anh), dia berkata: Pada hari Aidil Fitri dan Aidil Adha, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju musholla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat Aidil Fitri.
    (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 956)

    Ketahuilah bahawa solat di Masjid Nabawi itu adalah 1000 kali lebih baik dari bersolat di masjid-masjid lain. Ini sebagaimana sabda baginda shallallahu ‘alaihi wasallam: Solat di masjidku ini (iaitu Masjid Nabawi) adalah lebih baik dari seribu kali solat di masjid lainnya kecuali Masjidil Haram (di Mekah al-Mukarramah). (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Jamaah, hadis no: 1190)

    Namun ternyata meskipun dengan keutamaan sebesar ini Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tetap memerintahkan para sahabat radhiallahu ‘anhum untuk mendirikan solat Aidil Fitri di musholla. Ibnu Qudamah rahimahullah di dalam al-Mughni (jilid 3, ms. 260) berkata:
    Mengerjakan solat Aidil Fitri di musholla adalah sunnah, kerana dahulu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam keluar ke tanah lapang dan meninggalkan masjidnya (iaitu Masjid Nabawi). Demikian pula para khulafa’ al-Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan kaum muslimim. Mereka telah sepakat di setiap zaman dan tempat untuk keluar ke tanah lapang ketika solat Aidil Fitri.
    (Dinukil dari artikel bertajuk Bimbingan Berhari Raya Aidil Fitri yang disusun oleh Abu Sulaiman Aris S, ms. 40)

    Tentang hikmah diselenggarakan solat Aidil Fitri di musholla, Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:

    Sesungguhnya mengerjakan dua solat Aidil Fitri di tanah lapang (musholla) memiliki hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidaknya boleh berkumpul bersama dua kali selama setahun. Semua orang dari penjuru negeri berkumpul di sebuah tempat, baik lelaki, perempuan mahupun kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (kalimat tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan demikian, Hari Raya benar-benar memiliki erti yang agung bagi mereka.
    (Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, Koreksi Total Ritual Shalat, (edisi terjemahan oleh W. Djunaedi S, Pustaka Azzam, Jakarta 2001), ms. 394)

    Menurut Syaikh Wahid Abdussalam pula: Para ulama’ telah mengemukakan sejumlah hikmahnya:

    1 – Berkumpulnya kaum muslimin di satu tempat untuk menampakkan kejayaan kaum muslimin.
    2 – Berkumpulnya kaum muslimin di tempat terbuka yang terlihat awal dan akhirnya disertai takbir dan tahlil, dapat menguatkan keimanan dan memantapkan keyakinan.
    3 – Keluarnya kaum muslimin di satu tempat, dewasa dan kanak-kanak, laki-laki dan perempuan, adalah salah satu fenomena kegembiraan pada Hari Raya.
    4 – Tercerai-berainya kaum muslimin di beberapa masjid pada hari yang diberkahi ini menyebabkan perselisihan hati dan tercerai-berainya kalimat.
    5 – Kaum muslimin memakai pakaian baru dan berkumpul di satu tempat dengan bertakbir, bertahlil, solat dan mendengarkan nasihat (khutbah), adalah salah satu bentuk rasa syukur kepada Allah, Rabb semesta Alam yang berfirman:
    “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah (2): 185)
    6 – Berkumpulnya kaum muslimim di dalam pemandangan yang disegani ini dapat menggentarkan para musuh agama dan membuat marah kaum kafir.
    – Syaikh Wahid Abdussalam Bali, 474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya, ms. 298-299.

    Oleh itu sewajarnya umat Islam di Malaysia berusaha untuk mengembalikan pengamalan sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang semakin dipinggirkan ini.
    Namun begitu janganlah disebabkan di Malaysia Solat Aidil Fitri tidak dilaksanakan di musholla maka ada yang beranggapan tidak perlu untuk menunaikan solat tersebut kerana menghindari amalan bid’ah. Insya Allah penulis akan membahaskan hukum solat Aidil Fitri di dalam risalah ini. Menunaikan solat Aidil Fitri di masjid adalah diperbolehkan oleh Imam al-Syafi’i rahimahullah sekiranya masjid tersebut mampu menampung seluruh penduduk di daerah tersebut. Imam al-Syafi’i berkata:
    Jika sesebuah masjid di dalam sebuah daerah dapat menampung seluruh penduduk, maka menurutku mereka tidak perlu lagi pegi ke tanah lapang (untuk mengerjakan solat Aidil Fitri). Tetapi jika tidak dapat menampung seluruh penduduk, maka tidak dianjurkan melakukan solat Aidil Fitri di dalamnya.
    (Dinukil daripada Fathul Baari, jilid 5, ms. 283)

    Dari fatwa Imam al-Syafi’i ini maka al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah telah membuat kesimpulan seperti berikut:
    Dari sini dapat disimpulkan, bahawa permasalahan ini sangat bergantung kepada luas atau sempitnya sesuatu tempat, kerana diharapkan pada Hari Raya itu seluruh masyarakat dapat berkumpul di suatu tempat. Oleh kerana itu, jika hal itu dapat dilakukan di dalam masjid, maka melakukan solat Aidil Fitri di dalam masjid lebih utama daripada di tanah lapang.
    (al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms. 283)

    Apa pun jua, mencontohi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah lebih utama kerana hadis-hadis baginda bersifat umum tanpa meletakkan sebarang syarat berkaitan keluasan atau kesempitan sesebuah masjid dalam menentukan tempat untuk di laksanakan solat Aidil Fitri. Wallahu’alam

    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

     
    %d bloggers like this: